Saturday, May 15, 2010

Selamat Hari Belia (15 Mei)

Tanggal 15 Mei setiap tahun Hari Belia akan disambut di seluruh negara bagi mengenang jasa-jasa dan sumbangan kaum belia kepada negara. Di peringkat ASEAN pula sambutan Hari Belia adalah pada setiap 8 Ogos manakala sambutan Hari Belia Sedunia pula adalah setiap 12 Ogos. Tujuannya ialah untuk memartabatkan hak-hak dan kepentingan golongan belia kepada ekonomi, pendidikan, pertanian, pelancongan, kebudayaan, pengurusan dan pentadbiran negara. Oleh itu, tidak dinafikan bahawa kaum belia merupakan aset dan modal yang ampuh di dalam memajukan negara. Kegigihan mereka tidak boleh diperkotak-katikan kerana mengikut statistik, kaum belia meliputi lebih 50% penduduk negara kita.

Apatah lagi sekarang ini jumlah golongan belia yang berpendidikan semakin ramai dan pastinya akan terus bertambah setiap tahun. Malah kalau dikira setiap tahun sesebuah institusi pengajian tinggi yang ada mampu mengeluarkan lebih 500-1000 graduan. Peluang pekerjaan juga semakin luas dan permintaan terhadap tenaga buruh yang rata-ratanya menagih keringat golongan belia untuk memenuhi kekosongan ini tetapi apa yang kita nampak - pengangguran pula yang semakin membimbangkan.

Kesedaran yang wujud disini adalah perlukah kita untuk memilih pekerjaan? Peluang ada di mana-mana hanya yang tinggal hati kita sahaja hendak atau tak hendak. Bak kata pepatah 'kalau nak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih'. Persoalan ini bukannya bermaksud nak menyalahkan siapa-siapa. Mencari pekerjaan ketika ini umpama memetik bintang di langit - iklan jawatan kosong hampir penuh terpampang di dada-dada khabar tetapi tanyalah diri kita terlebih dahulu apakah yang perlu anda lakukan untuk mendapatkannya?

Kerjasama daripada agensi-agensi kerajaan dan swasta juga penting. Tanpa penetapan dan komunikasi antara kedua-dua pihak maka akan sukar untuk mencapai kadar pengangguran minimum. Kadang-kadang pertimbangan berdasarkan logik dan rasional perlu diambilkira walaupun kelayakan dan pengalaman diutamakan. Dengan itu, saya percaya kadar pengangguran yang melibatan golongan belia pasti dapat dikurangkan suatu hari nanti.

Kepada golongan belia pula terdapat pelbagai aktiviti yang boleh diikuti. Disamping itu anda bolehlah mendapatkan info-info terkini dengan melayari laman web rasmi Majlis Belia Malaysia (MBM) di http://belia.org.my/ yang mengandungi banyak informasi berguna. Bukan itu sahaja demi mengisi masa lapang anda bolehlah mengambil peluang untuk menjadi sukarelawan-sukarelawan seperti menjadi ahli-ahli Pemadam, Prostar, Persatuan Bulan Sabit, Pengakap, mengikuti aktiviti-aktiviti sosial dan sebagainya.

Tahun ini Hari Belia Negara disambut selama 3 hari mulai 14-16 Mei 2010 di Putrajaya. Kepada yang ada kelapangan untuk menghadirkan diri itu silalah datang ke sana untuk memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini. Berikut adalah antara aktiviti-aktiviti yang telah diatur sepanjang tempoh tersebut:

Program MBM
  • Pertandingan Gendang Urumi: 14 Mei 2010, 9pm-11pm Dataran Masjid Putra
  • Pertandingan Dikir Barat : 15 Mei 2010, 10am-1pm Dataran Masjid Putra
  • Seminar Pendidikan Pengguna Belia: 15 Mei 2010, 9am-1pm Dewan Putrajaya Holding
  • Melukis Poster 1Malaysia Terpanjang : 15 Mei 2010, 9am-5pm Dataran Masjid Putra
  • Perhimpunan HBN2010 : 15 Mei 2010, 3pm-5pm, PICC
  • Karnival Pendidikan dan Kerjaya MBM : 14 -16 Mei 2010 Putrajaya
Akhir kata saya ucapkan Selamat Hari Belia 2010!

Cheers!!

No comments:

Post a Comment