Sunday, December 6, 2009

'No Plastic Day' & Kebersihan Alam Sekitar

Sejak kempen ini dilancarkan di Miri, sambutan yang ditunjukkan oleh masyarakat disini agak memberangsangkan tetapi MASIH KURANG. 'No Plastic Day' merupakan salah satu inisiatif yang diwujudkan oleh pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang bertujuan untuk memberi kesedaran untuk mengurangkan penggunaan beg-beg plastik. Ianya dibuat pada setiap hari Ahad.

Penglibatan oleh pihak pusat-pusat membeli-belah utama di Miri dalam menyokong kempen ini adalah amat baik dan perlu diberi pujian. Tidak dinafikan terdapat sesetengah pelanggan yang tidak membawa beg sendiri semasa membeli-belah walaupun sudah berkali-kali diumumkan di media-media massa, dalam keadaan yang tidak dapat dielakkan maka mereka perlu sanggup untuk dikenakan sedikit caj iaitu RM0.20 untuk satu beg plastik dibekalkan oleh pihak peniaga.

Semua kutipan hasil daripada caj-caj plastik ini akan didermakan kepada pusat-pusat kebajikan yang memerlukan. Disamping menjaga alam sekeliling daripada berlonggoknya buangan yang sukar untuk dilupuskan, ia turut menggalakkan masyarakat mencari alternatif lain kepada plastik seperti beg kertas.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh US Environtmental Protection Agency (EPA), di Amerika Syarikat sahaja menunjukkan peningkatan yang amat ketara pembuangan sisa-sisa pepejal jika tidak dibendung mulai sekarang. Pelbagai kempen telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat dalam membendung peningkatan ini daripada berleluasa antaranya menggalakkan penggunaan beg-beg kertas. Hampir kesemua pusat membeli-belah di negara tersebut menyambut baik kempen yang dibuat oleh kerajaan ini.

Tidak perlu untuk saya komen bandar-bandar lain, di Miri sahaja sampah-sampah plastik ini terdapat dimana-mana - lorong-lorong, stesen bas, tandas awam, tempat-tempat rekreasi sehinggakan pengangkutan awam juga tidak terkecuali atas sikap sesetengah masyarakat yang tidak bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan baik kecil mahupun besar sampah tersebut ianya tetap digelar sampah juga!!!

Cuba kita perhatikan kalau tin-tin aluminium dan botol-botol yang bersepah di tengah jalan, apakah yang kalian rasa reaksi orang kita? Ya memang sudah tentu mereka akan mengutipnya dan membawanya balik untuk dijual apabila sudah cukup banyak untuk ditebus dengan wang tunai. Ini menunjukkan jika sesuatu sampah atau apa sahaja yang mempunyai nilai kewangan maka kesanggupan untuk mengutipnya walaupun di hadapan orang ramai amat tinggi jika dibandingkan dengan sesuatu yang tidak mempunyai nilai kewangan. Mereka lebih cenderung untuk mengatakan "buat apa aku sibuk-sibuk...bukan sampah aku pun..". Tetapi ingatlah wahai manusia, benda yang mempunyai nilai kewangan itupun bukannya semua barang kalian tetapi kenapakah kalian sanggup mengutipnya?

Ini menunjukkan tahap kesedaran dalam menjaga kebersihan alam sekitar di dalam hati orang kita masih rendah dan mengecewakan. Jika sekadar melepaskan batuk di tangga, nescaya suatu hari nanti kempen ini tidak akan berjaya. Semua pihak harus menggembleng tenaga dalam menjayakannya dan mengubah tanggapan bahawa menjaga kebersihan ini adalah tanggungjawab pihak majlis bandaran semata-mata.

Penggunaan beg-beg kertas di negara kita sahaja ianya cuma masih baru. Kebersihan sekeliling pula perlu dipantau dari semasa ke semasa kerana kita tidak mahu menunjukkan imej yang buruk tempat kepada pelancong-pelancong asing yang datang bertandang untuk bercuti ke negara kita. Jika tidak bermula sekarang, bila lagi??

Cheers

No comments:

Post a Comment